SEJARAH PSS

Sejarah Pusat Sumber Sekolah (PSS)

Pusat Sumber Sekolah adalah merupakan salah satu elemen terpenting dalam menjana pembangunan dan kemajuan akademik di sekolah-sekolah. Penubuhannya telah diusahakan semenjak sebelum negara merdeka lagi. Kepentingannya amat dirasakan sehingga beberapa proses penambah baikkan baik dari segi pengurusan dan fizikalnya sentiasa berkembang dari masa ke semasa.
Sekitar tahun 1950an beberapa buah sekolah di bawah pentadbiran Inggeris telah mula mewujudkan perpustakaan sekolah. Namun usaha itu tidaklah begitu diutamakan malah tidak mempunyai objektif yang jelas dalam membantu pembangunan pendidikan semasa lebih-lebih lagi tiada mempunyai kakitangan yang terlatih dalam pengurusan sumber pada ketika itu. Projek ini telah menemui kegagalan. Pada tahun 1962, Persatuan Persekutuan Tanah Melayu menggariskan standard minimum bagi perpustakaan di Malaya. Antaranya:
1. Semua bahan ditempatkan di sebuah bilik khas.
2. Memberi kursus /latihan kepada guru perpustakaan selama setahun.
3. Nisbah purata koleksi buku dan pelajar ialah 10 judul bagi 1 pelajar.
4. Melanggan 1 atau 3 jenis akhbar.
Pada tahun 1964, Kementerian Pelajaran menerbitkan manual Perpustakaan Sekolah (“School Library Manual”) yang disediakan oleh Margeret Walker. Pada tahun 1965, TV Pendidikan telah memulakan satu program perintis bagi Sains Am yang diterbitkan di bawah Kementerian Penerangan bersama Kementerian Pelajaran. Setahun kemudian telah dilancarkan projek yang ke dua yang melibatkan bidang Biologi (Kajihayat).
Pada tahun 1967 Perpustakaan Sekolah telah diletakkan di bawah pengurusan Buku Teks di Kementerian Pendidikan. Kemudian sehingga tahun 1974 pengurusan perpustakaan sekolah diserahkan pula kepada Perkhidmatan Perpustakaan Sekolah, Pengurusan Sekolah Kementerian Pelajaran.
Pada 1 Mac 1983, Kementerian Pendidikan mengarahkan semua sekolah menggunakan istilah Pusat Sumber Sekolah (PSS) bagi menggantikan istilah Perpustakaan Sekolah. Pusat Sumber Sekolah dapat memberi gambaran yang lebih tepat kerana PSS mempunyai koleksi bahan cetak dan bahan bukan cetak.
Pada tahun 1983 juga Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN) – kini Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN), telah ditubuhkan. Peringkat awal, hanya empat negeri sahaja yang terpilih untuk menubuhkan PSPN iaitu Kedah, Kelantan, Pahang dan Terengganu. Bagi negeri-negeri yang tiada mempunyai PSPN, Unit Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri menjalankan peranan yang sama. Sehinggalah tahun 1997 semua negeri telah mempunyai PSPN mereka sendiri.
Kini, semua sekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia diwajibkan mempunyai PSS dan dikawal selia oleh BTPN masing-masing.

Manakala, PSS Sekolah Kebangsaan Kemasek secara rasminya telah ditukar nama kepada "PSS ASIAH AL-YAHYA " iaitu pada 5 November 2014. Majlis pelancaran nama baharu ini telah disempurnakan sendiri oleh Guru Besar Pn. Sharifah Asiah Binti Syed Othman. Untuk pengetahuan semua, nama PSS ASIAH AL-YAHYA ini diambil sempena nama guru besar yang amat komited dan bersungguh-sungguh mahu menaikkan PSS agar dikenali oleh orang ramai. Semoga tahun-tahun akan datang akan menjadikan PSS ASIAH AL-YAHYA lebih cemerlang dan gemilang.